Sunday 6 November 2011

SEJARAH MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA


MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA

Setelah FELDA diwujudkan pada 1 Julai 1956, pelbagai pertubuhan belia wujud di dalam
rancangan FELDA seperti Persatuan Belia Felda, Gerakan Belia 4B, MAYC, HYO dan lainlain.

Pada tahun 1969, Gabungan Persatuan Belia Felda Wilayah Selatan (PBFWS) ditubuhkan.
Pada tahun 1975 ianya ditukar nama kepada Majlis Belia Felda Kawasan Selatan dan
diterima menjadi Ahli Bersekutu atau badan gabungan Majlis Belia Malaysia.
Pada tahun 1977 satu perjumpaan para belia Felda telah diadakan di Wisma YMCA Kuala
Lumpur bertujuan menubuhkan Majlis Belia Felda Kebangsaan bagaimanapun ianya gagal
berfungsi. Pada 27 Oktober 1980 Felda mengatur satu perjumpaan untuk membentuk
Gerakan Persatuan Belia Felda Kebangsaan di Institut Pembangunan Tanah FELDA
(INPUT) Trolak, bagaimanapun ianya turut menemui kegagalan dan usaha-usaha kearah
mewujudkan semula Majlis Belia Felda terus dilaksanakan.
Pada April 1988, satu perjumpaan khas belia Felda telah diadakan di Johor Bahru bagi
membincangkan penubuhan Majlis Belia Felda Kebangsaan telah diadakan. Lanjutan dari
usaha tersebut, satu mesyuarat penaja penubuhan telah diadakan pada Julai 1988 di
Asrama Semai Bakti FELDA, Kuala Lumpur.
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA telah ditubuhkan dengan rasmi dan didaftarkan pada 7
Ogos 1991 dengan keahlian seramai 59,836 orang. Mesyuarat Agung Kali Pertama telah
diadakan pada 9 Oktober 1991 di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT) yang
disempurnakan oleh YB Encik Yassin Kamari, Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan
Luar Bandar Malaysia.
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA ditubuhkan dan didaftarkan pada 7 Ogos 1991 dengan
hasrat untuk menjadi sebuah badan penyelaras persatuan-persatuan belia Felda di
Malaysia. Penubuhan MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA juga selari dengan hasrat kerajaan
untuk melihat generasi kedua Felda proaktif menghadapi cabaran dalam era globalisasi.

 Pada 26 Jun 2008, MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA telah berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan Belia (ROY), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Penubuhan Pendaftar
Pertubuhan Belia adalah berkait rapat dengan kewujudan Akta Pertubuhan Belia &
Pembangunan Belia 2007 dan fungsinya untuk mentadbir Akta Pertubuhan Belia dan
Pembangunan Belia 2007. Akta ini telah diwartakan pada 26 Julai 2007 dan mula
berkuatkuasa pada 31 Disember 2007.
 Akta ini perlu dalam memperkasa pertubuhan belia
supaya mampu menarik lebih ramai golongan muda bergiat aktif dalam pertubuhan belia.
Akta ini penting bagi memastikan bahawa pertubuhan belia tetap relevan dalam
pembangunan negara menerusi suatu sistem pengurusan dan pemantauan yang lebih
teratur.
MAJLIS BELIA FELDA MALAYSIA amat komited terhadap rancangan yang disebutkan di
atas dan oleh itu kami akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayan kami dalam
bidang yang diceburi ini. Dengan berbekalkan kepada keyakinan yang tinggi dan diurus
tadbir oleh mereka yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi sudah tentu akan
menjadikan Majlis Belia Felda Malaysia sebuah pertubuhan belia yang mampu bersaing
dengan pertubuhan belia lain yang sedia ada.

No comments: