Thursday 15 April 2010

Futsal tertutup Jengka 3 hebat

Futsal tertutup Jengka 3 hebat

JENGKA 3 – Pasukan Brazil menundukkan England 2-0 di padang sendiri bagi menjuarai Liga Futsal Tertutup Jengka 3 Piala Pusingan Datuk Shahaniza anjuran Persatuan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 3.

Ketua pasukan Futsal Jengka 3, Zukiman Zakaria berkata, perlawanan selama dua hari itu menyaksikan lapan pasukan lelaki dan empat pasukan futsal wanita berentap bagi merebut piala pusingan.

Menurutnya, malah perlawanan kali ini turut menyaksikan aksi hebat beberapa pemain pelapis pasukan England yang menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun masih di peringkat percubaan.

“Kedua-dua pasukan mempamerkan corak perlawanan yang hebat apabila perlawanan akhir ini turut menggabungkan kemahiran pemain pelapis dan pemain senior bagi memastikan setiap pasukan mampu mempamerkan aksi terbaik.

“Sejak pembukaan gelanggang futsal Kelab Sukan Komuniti (KSK) di Jengka 3 ini sambutan terhadap sukan futsal amat menggalakkan walaupun sebelum ini hanya bergantung kepada padang awam semata-mata sebagai tempat latihan,” katanya.

Zukiman berkata, namun kini fungsi gelanggang ini digunakan sebaik mungkin dalam usaha membangunkan generasi baru Felda terutamanya untuk aktif dalam bidang sukan itu.

“Malah sejajar dengan usaha itu kita juga kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan belia dari kawasan sekitar seperti Jengka 2, 4, 5, 6, 7 dan sekitarnya,” katanya.

Turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Maran, Saniah Zainal; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mat Sulaiman Haron serta penduduk kampung bagi menyokong majlis itu.

Sumber : Sinar Harian Online Edisi Pahang

Liga Futsal Tertutup Jengka 3 Pamer Tiga Kategori




JENGKA 3 – Liga Futsal Tertutup Jengka 3 mempamerkan tiga kategori apabila pertama kalinya mempertaruhkan kategori kanak-kanak dalam mencungkil bakat anak-anak kecil ini untuk diketengahkan di kejohanan akan datang.

Pengerusi Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 3, Mohd Syukur Abdul Rahman berkata, penyertaan belia wanita dan lelaki amat menggalakkan malah tidak kurang juga pasukan kanak-kanak dengan sambutan ibu bapa sepanjang perlawanan berlangsung di padang awam itu.

“Tujuan kita mewujudkan kategori ini adalah sebagai usaha mendidik kanak-kanak sejak dari kecil untuk aktif dalam bidang sukan bagi mengelakkan mereka terlibat dengan aktiviti kurang berfaedah.

“Perasmian gelanggang futsal Kelab Sukan Komuniti di Jengka 3 ini menggalakkan lagi penyertaan golongan kanak-kanak dalam bidang sukan ini dan bagi tidak melupakan golongan ini kita turut menganjurkan kategori kanak-kanak dalam liga kali ini,’ katanya.

Mohd Syukur berkata, gelanggang ini kini beroperasi sepenuhnya dan membuka peluang kepada semua belia dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul terutamanya untuk bermain futsal di gelanggang yang lebih dekat dengan mereka dan selesa.

“Kini belia di sekitar kawasan seperti di Felda Ulu Jempul, Jengka 1, 2, 4, 5, 6 dan 7 tidak perlu lagi bermain di luar kawasan kerana gelanggang ini kini boleh digunakan,” katanya.

Turut hadir di majlis Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Maran, Zaini Abd Talib; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mat Sulaiman Haron serta penduduk kampung bagi menyokong majlis berkenaan.

Sumber : Sinar Harian Online Edisi Pahang

Wednesday 14 April 2010

Jelajah Ikon Belia Felda : Tahniah Pasukan Bola Jaring!

Jelajah Ikon Belia Felda : Tahniah Pasukan Bola Jaring! 


1 November 2009 (Ahad) - Bertempat di Jengka 17, telah diadakan Program Jelajah Ikon Belia Felda Malaysia 2009. Pelbagai aktiviti dijalankan sempena dengan program ini seperti pertandingan futsal, bola jaring dan kompang. Turut diadakan adalah pameran serta ceramah. Program ini telah dirasmikan oleh YB Wan Salman bin Wan Ismail, ADUN Jengka.

Sekalung tahniah kepada pasukan bola jaring dari DUN Kuala Sentul yang diwakili oleh pasukan bola jaring Jengka 3 kerana telah menjadi johan dalam pertandingan kali ini. Turut hadir semasa perlawanan akhir dan upacara penyampaian hadiah adalah ADUN Kuala Sentul, YB Dato' Shahaniza Shamsuddin.
Selain itu, tahniah juga diucapkan kepada pasukan futsal yang diwakili oleh pasukan futsal Jengka 5 kerana layak ke peringkat separuh akhir.

Program Jelajah Ikon Belia Felda Malaysia 2009 (wilayah Jengka) ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ikon Belia Felda Malaysia, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir. Beliau merupakan wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo.