Monday 11 February 2008

RM160j biayai skim kemahiran anak-anak Felda

BANDAR JENGKA 10 Feb. - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mengalu-alukan komitmen Felda yang sanggup membelanjakan sebanyak RM160 juta untuk skim latihan kemahiran kepada kira-kira 27,000 anak peneroka di seluruh negara.
Timbalan Presiden MBFM, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, sejak tiga tahun skim ini dilancarkan, sebanyak RM110 juta telah dibelanjakan untuk memberi faedah kepada hampir 20,000 anak-anak Felda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
''Peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tahun 2008 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perasmian Anugerah Belia Felda (ABFM) di Putrajaya Disember lepas menambah nilai skim latihan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdullah yang juga Presiden Majlis Belia Felda Pahang berkata, tambahan peruntukan itu akan membolehkan kira-kira 7,000 lagi anak peneroka di seluruh negara mendapat latihan dalam pelbagai bidang.
Beliau menambah, jumlah anak-anak peneroka lepasan SPM yang telah mengikuti pelbagai latihan kemahiran pada tahun 2005 ialah seramai 5,295 orang, 2006 (7,335 orang) dan 7,012 pada tahun lalu.
''Sebanyak 53 pusat latihan di seluruh negara telah diiktiraf Felda untuk menjalankan kursus dalam pelbagai bidang seperti elektrik, jahitan, komputer dan lain-lain selama enam bulan secara percuma.
''Skim latihan yang ditawarkan kepada anak peneroka Felda turut membabitkan bidang kejuruteraan kapal terbang serta komunikasi teknologi dan maklumat untuk bersaing di pasaran glokal," katanya.
Katanya, strategi program latihan ini bukan sahaja untuk melahirkan generasi baru belia Felda produktif, tetapi juga bagi menangani masalah sosial yang membabitkan golongan berkenaan.
Abdullah turut menegur sikap segelintir anak peneroka yang ditawarkan mengikuti kursus percuma, tetapi tidak mendaftarkan diri di pusat-pusat yang ditetapkan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Abdul Rahman Basri, 46, pula berkata, para belia lepasan sekolah menengah terbabit akan mendapat faedah secara langsung jika menyertai latihan kemahiran yang ditawarkan kerana ia memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.
''Generasi baru Felda amat bertuah kerana telah diberikan peluang seluas-luasnya kepada mereka mengikuti latihan kemahiran yang secara langsung juga dapat melonjakkan nilai diri," katanya.
Katanya lagi, mana-mana pelatih yang menunjukkan komitmen tinggi dan cemerlang dalam pengajian mereka akan ditawarkan pula ke tahap kedua dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh Felda.