Futsal tertutup Jengka 3 hebat
JENGKA 3 – Pasukan Brazil menundukkan England 2-0 di padang sendiri bagi menjuarai Liga Futsal Tertutup Jengka 3 Piala Pusingan Datuk Shahaniza anjuran Persatuan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 3. Ketua pasukan Futsal Jengka 3, Zukiman Zakaria berkata, perlawanan selama dua hari itu menyaksikan lapan pasukan lelaki dan empat pasukan futsal wanita berentap bagi merebut piala pusingan. Menurutnya, malah perlawanan kali ini turut menyaksikan aksi hebat beberapa pemain pelapis pasukan England yang menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun masih di peringkat percubaan. “Kedua-dua pasukan mempamerkan corak perlawanan yang hebat apabila perlawanan akhir ini turut menggabungkan kemahiran pemain pelapis dan pemain senior bagi memastikan setiap pasukan mampu mempamerkan aksi terbaik. “Sejak pembukaan gelanggang futsal Kelab Sukan Komuniti (KSK) di Jengka 3 ini sambutan terhadap sukan futsal amat menggalakkan walaupun sebelum ini hanya bergantung kepada padang awam semata-mata sebagai tempat latihan,” katanya. Zukiman berkata, namun kini fungsi gelanggang ini digunakan sebaik mungkin dalam usaha membangunkan generasi baru Felda terutamanya untuk aktif dalam bidang sukan itu. “Malah sejajar dengan usaha itu kita juga kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan belia dari kawasan sekitar seperti Jengka 2, 4, 5, 6, 7 dan sekitarnya,” katanya. Turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Maran, Saniah Zainal; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mat Sulaiman Haron serta penduduk kampung bagi menyokong majlis itu. Sumber : Sinar Harian Online Edisi Pahang |
No comments:
Post a Comment